Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjalankan tanggungjawabnya demi kepentingan negara.
Beliau berkata, kedudukan Anwar di peringkat antarabangsa merupakan representasi suara Malaysia, justeru usaha dan peranan Perdana Menteri dalam membawa suara negara tidak seharusnya dinafikan hanya kerana perbezaan pandangan politik.
Menurutnya, masyarakat perlu melihat Malaysia sebagai sebahagian daripada dunia yang lebih luas, khususnya dalam menghadapi cabaran global yang turut memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.
“Dan memang hakikatnya Datuk Seri Anwar jadi Perdana Menteri mewakili suara kita. He’s speaking on the international stage,” katanya.
Jangan dinafikan sumbangan dan usaha PM
Nurul Izzah berkata, meskipun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Anwar, perbezaan pandangan itu tidak seharusnya menyebabkan usaha yang baik untuk negara dinafikan atau dihalang.
“Tak suka, tutuplah TV. Janganlah nafikan pengorbanan, nafikan his role. Come on! Come on! Be fair!
“Kalau tak nak bantu, janganlah bantah. Jangan halang. Kalau orang lain nak buat, bagilah jadi. Bagi berjaya, bagi settle, bagi success,” katanya.
Baca juga:
- Nurul Izzah minta rakyat beri ruang kepada Anwar jalankan tanggungjawab sebagai PM
- DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan, 88.47% perwakilan sokong
- Ong Kian Ming gesa perwakilan DAP undi ‘Leave’ pada Kongres Khas
Beliau turut menyentuh mengenai kecenderungan sesetengah pihak untuk melihat isu antarabangsa sebagai perkara yang tidak berkaitan dengan kehidupan rakyat Malaysia.
Katanya, perkembangan global termasuk konflik dan gangguan laluan perdagangan boleh memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara, termasuk bekalan minyak, harga barangan dan baja.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada keadaan di Selat Hormuz yang sekiranya berlaku gangguan terhadap laluan perdagangan, kesannya boleh dirasai oleh negara yang berada jauh dari kawasan konflik termasuk Malaysia.
Agenda reformasi
Dalam pada itu, Nurul Izzah menegaskan bahawa masa dan peluang yang ada perlu dimanfaatkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik, termasuk meneruskan agenda reformasi.
Beliau turut mengajak semua pihak supaya mengamalkan sikap tawaduk dan tidak terlalu meletakkan kepentingan diri, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha yang membawa manfaat kepada negara dan rakyat.
“You nak pilih side, benda salah ka? Decide. Tapi kalau you fikir, you dendam, you cannot accept for no good reason other than your jealousy, you better go see a psychologist, brother,” katanya.
Menurutnya, negara ketika ini mempunyai banyak perkara yang perlu diselesaikan dan tenaga sewajarnya diberikan kepada usaha memperbaiki kehidupan rakyat serta memperkukuh negara.
“Negara sekarang ini banyak lagi masalah nak selesai. Tak ada masa nak dengar you punya issues because you are not Prime Minister. Hello!” katanya.









