Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan yang semakin retak dan berdepan kemungkinan tidak mampu bertahan lama. Menurutnya, keadaan PH berbeza dengan gabungan politik terdahulu seperti UMNO bersama Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) yang pernah disertai PAS.
Menurut Abdul Hadi, keadaan itu menyebabkan sebahagian anggota gabungan berkenaan memilih untuk meninggalkan kapal politik masing-masing, berpindah haluan atau berdepan tekanan akibat pergolakan politik.
“Ada sebahagian daripada mereka yang terjun ke laut, ada juga yang berpindah kapal dan yang menumpang sampan kecil, malah ada yang berenang bersama pelampung dan ada juga yang terus tenggelam ditimbus gelombang politik yang bergelora,” katanya.
Baca juga:
- ‘PH laksana bahtera yang tidak tahan dilambung ombak’ – Hadi Awang
- Pas-Bersatu: Pas beri bayangan tiada lagi ruang berdamai
- BERSATU restu dua ADUN sokong MB Pahang
Beliau turut mendakwa slogan reformasi dan Malaysia Madani semakin luntur, malah boleh hilang seperti slogan Islam Hadhari sebelum ini. Abdul Hadi berpandangan kerajaan campuran yang menghimpunkan parti dengan ideologi berbeza seperti DAP, PKR dan AMANAH gagal menghasilkan penyelesaian yang benar-benar sesuai dengan keadaan rakyat Malaysia.
Katanya, keluhan daripada pelbagai kelompok masyarakat termasuk pendidik, penjawat awam, peniaga, petani, nelayan dan penganggur menunjukkan terdapat masalah yang masih membebankan rakyat.
“Perkataan tatakelola yang sedap disebut, begitu juga slogan reformasi yang ditempikkan, begitu berat untuk ditanggung,” katanya sambil mendakwa usaha memerangi rasuah juga masih belum berjaya mencapai matlamatnya.
Abdul Hadi turut mengaitkan kegagalan menangani masalah rasuah dengan tindakan yang didakwanya tidak menyeluruh, termasuk dakwaan hanya pihak tertentu dikenakan tindakan. Selain itu, beliau mendakwa masalah moral dan jenayah seperti penyalahgunaan arak, dadah serta kes bunuh turut menunjukkan kelemahan dalam pendekatan kerajaan menangani isu masyarakat.
Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi berpandangan penyelesaian terhadap masalah negara tidak seharusnya bergantung kepada pertambahan peruntukan atau aspek material semata-mata. Sebaliknya, beliau menekankan kepentingan ilmu, akhlak, roh dan moral dalam pembangunan negara.









