Tular satu video memaparkan seorang lelaki dipercayai membuat provokasi dan mencetuskan kekecohan ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Isnin lalu.
Susulan kejadian itu, empat laporan polis diterima berhubung tindakan lelaki terbabit yang dipercayai mengganggu ketenteraman ketika orang ramai sedang menunggu untuk memasuki kawasan tempat duduk awam.
Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya turut mengesan video berdurasi 2 minit 18 saat yang memaparkan seorang lelaki tempatan berbaju oren atau coklat dipercayai melakukan provokasi.
Menurutnya, berdasarkan video berkenaan, lelaki itu dipercayai merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar kawasan tempat duduk.
“Tindakan itu menyebabkan berlaku tolak-menolak dan beberapa individu dilihat terjatuh,” katanya.
Baca juga:
- ‘Tuduhan anjing liar milik datuk Haira berat’- Malaysia Animal Association
- Dakwaan lelaki kahwin rahsia di Thailand tular
- Dua lelaki ditahan, kereta disita selepas video tular di Jambatan Putra
Aidi Sham berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika orang ramai mula berkumpul bagi menunggu pintu masuk ke tempat duduk awam dibuka.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Polis pada masa sama menasihatkan lelaki yang dipaparkan dalam video tular itu supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro








