'Saya rasa mak tak suka saya…' - Budak lelaki Korea menangis dalam program realiti ketika bercakap mengenai ibu bapanya - The Reporter

‘Saya rasa mak tak suka saya…’ – Budak lelaki Korea menangis dalam program realiti ketika bercakap mengenai ibu bapanya

Ada di antara kita mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa. Namun, bagi mereka yang tidak begitu bernasib baik, hubungan sedemikian tidak berlaku dan menyebabkan kanak-kanak tertekan pada usia yang sangat muda.

Dalam satu program realiti di Korea, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menangis apabila bercakap mengenai ibu bapanya.

Dalam video tular daripada program realiti Korea, ‘My Golden Kids’, kanak-kanak itu merasakan dia dibenci oleh ibu dan menggambarkan bapanya sebagai seorang lelaki yang menakutkan apabila berada dalam keadaan marah.

Difahamkan, program My Golden Kids itu menampilkan panel pakar pengasuhan yang berbincang dengan ibu bapa menghadapi kesukaran untuk menjaga anak mereka.

Selalu bermain sendirian

Dalam video tersebut, kru di belakang kamera berbual dengan kanak-kanak berkenaan dan bertanya siapa yang dia sukai di antara ibu bapanya.

Jawapan pertama yang diungkap olehnya membuatkan penonton terus berasa sebak.

“Saya tak tahu… saya seorang diri di rumah.. tiada sesiapa yang bermain dengan saya,” katanya yang membuatkan ibunya menangis dan mengiyakan perkara itu di mana anaknya dibiarkan bermain sendirian dengan mainannya di bilik, tanpa kehadiran mereka.

Takut dengan bapa

Apabila ditanya mengenai bapanya, dia berkata, “Dia menakutkan apabila dia marah”.

Ditanya apa yang dia inginkan daripada bapa, kanak-kanak itu menjawab permintaanya mudah sahaja iaitu, “Saya berharap dia dapat memanggil saya dengan baik. Saya berharap dia memanggil saya dengan lembut,” sambil memberi contoh panggilan namanya dengan nada suara yang lembut.

Ketika ini, bapanya terus menjadi emosional dan mengelap air mata dari matanya.

Mahu ibu bermain bersama

Perbualan kemudian beralih kepada ibunya. Kanak-kanak itu berkata, “Saya rasa dia tak suka saya”. Sekali lagi ibunya sebak dan menangis, sementara si anak meminta masa seketika untuk menenangkan diri.

“Adakah awak akan jujur dengan ibu tentang apa yang awak rasa?” soal moderator.

Dia kemudian memaklumkan, ibu tidak pernah mendengar kemahuannya dan dia hanya mahu ibu bermain dengannya.

Video yang penuh dengan emosi itu tular di media sosial dan salah satu klip video tersebut meraih banyak reaksi netizen yang kebanyakan meluahkan rasa sedih mereka terhadap kanak-kanak berkenaan.

Dalam masa sama, ramai yang memuji ketenangannya meluahkan rasa yang terbuku di hati pada usianya yang sangat muda itu.

Sementara itu ada pengulas yang berkata, program realiti itu telah membantu keluarga berkenaan di mana pasangan suami isteri berkenaan kini berusaha untuk berkomunikasi dengan lebih baik bersama anak mereka.

Sumber: YouTube

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!