Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Dewan Rakyat pada hari ini kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin bangun dan secara lantang menafikan dakwaan yang telah diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“You boleh gelak Putrajaya kerana you buat perkara itu masa pentadbiran you buat kerja tu,” kata Anwar Ibrahim.
“Saya mohon tarik balik, Perdana Menteri. Tarik balik. Tak ada kaitan dengan saya, Tuan Speaker,” Radzi Jidin
Susulan itu juga, beliau telah diarah keluar Dewan selepas mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas Radzi enggan mendengar arahan supaya duduk dan memberi peluang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.
Beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit, bertindak keluar dari Dewan Rakyat.
Sementara itu, pada sidang media Ahli Parlimen pembangkang, Hamzah berkata, tindakan keluar Dewan Rakyat adalah bagi menunjukkan protes kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Katanya, keputusan dibuat Johari itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada Ahli Parlimen Putrajaya.
“Dalam perbahasan tadi, Yang Berhormat (YB) Tambun ada menimbulkan bahawa beliau menuduh Putrajaya melakukan sesuatu yang tidak baik.
“Apabila saya minta dia tarik balik, dia pusing dengan menyatakan Putrajaya itu bukan bermaksud Ahli Parlimen tetapi bermaksud pentadbiran Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat dibuat untuk membuktikan apa yang dilakukan Johari adalah tidak adil kepada Ahli Parlimen.
“Sepatutnya Yang Dipertua melakukan sesuatu dan bukannya menjadi seorang peguam,” katanya.
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian