2 Januari lalu, media melaporkan bahawa seorang pembantu rumah warga asing didakwa melarikan anak angkat selebriti wanita pada Disember 2023. Selebriti berkenaan segera membuat laporan polis dan pembantu rumah tersebut berjaya ditahan.
Siasatan mendapati bekas suami selebriti itu dipercayai dalang di sebalik penculikan tersebut. Pembantu rumah terbabit mengakui dia telah diarahkan oleh majikannya untuk berbuat demikian kerana sudah lama tidak bertemu dengan anaknya.
Berita tersebut mengundang pelbagai reaksi dari netizen yang dapat meneka bahawa dalang yang dimaksudkan itu adalah vokalis kumpulan indie yang terkenal.
Nafi culik anak
Menyedari dirinya dikecam dan difitnah teruk di media sosial, Mohammad Noh Salleh atau Noh, tampil memberi penjelasan mengenai apa sebenarnya yang telah berlaku.
Dalam temubual dengan Melodi pada Sabtu lalu, Noh menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak tersebut.
“Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya. Ini bukannya isu perebutan, tetapi mengikut undang-undang dan disertai dengan dokumen. Sekarang Musa di bawah jagaan saya dan sangat gembira. Memang saya difitnah teruk.
“Saya tak pernah kena tangkap. Saya hanya diminta hadir ke balai polis untuk beri keterangan. Tiadalah sampai kena gari atau tiada siapapun masuk lokap. Semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah, polis juga beri kerjasama yang baik dan faham dengan situasi. Memang tiada unsur jenayah.
“Jujurnya, saya ‘goyang’ bila dakwaan culik hangat diperkatakan. Mulut orang… Sumber cerita pun saya tak tahu dari mana,” jelasnya.
Cuba berbincang dengan bekas isteri tetapi gagal
“Kami sudah berusaha hubungi bekas isteri berhubung soal penjagaan Musa. Saya buang ego demi kepentingan Musa dan beri 150 peratus komitmen untuk duduk berbincang, namun tetap gagal.
“Kami sudah dewasa dan usia pun sudah memasuki 40 tahun. Tiada masa nak gaduh atau berdrama. Saya juga sudah hubungi orang sekelilingnya, namun hasilnya tetap sama. Misi utama saya mahukan perdamaian dan kedua-dua pihak dapat jaga Musa dan curahkan kasih sayang kepadanya.
“Saya cuma nak beritahu boleh isi ruang kosong yang ada dan Mizz Nina tak perlu risau kerana saya boleh menjaga Musa bersamanya. Saya nak kami dapat hak bersama dan beri yang terbaik sepanjang membesarkan Musa dalam suasana harmoni. Semoga boleh ketepikan ego dan berbincang demi kebajikan Musa,” katanya.
Musa diambil oleh Mizz Nina
Bagaimanapun, pada malam keesokan harinya, Noh memaklumkan Musa telah diambil semula oleh bekas isterinya yang datang ke rumah bersama suami, pihak polis dan beberapa individu lain yang tidak dikenali. Ini kerana bekas isterinya telah mendapatkan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari mahkamah syariah sebelum sesi mediasi di mahkamah syariah.
“Malam semalam dalam jam lebih kurang 8.30 malam, pihak Mizz Nina telah pun hadir di rumah saya bersama-sama dengan suami beliau serta pihak polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk tujuan mengambil Musa dari jagaan saya dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari mahkanah syariah sebelum sesi mediasi di mahkamah syariah.
“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa kembali dan akan meminta nasihat peguam saya. Hanya tuhan sahaja yang mengetahui betapa hancurnya hati saya semalam.
“Tiada sebarang insiden perebutan berlaku malam tadi kerana saya masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa.
“Saya berharap statement ini jelas dan tiada sebarang spekulasi dari mana2 pihak dan saya juga berterima kasih atas segala doa dari kalian.” katanya.
Sumber: Melodi, Berita Harian, Harian Metro, Instagram Noh Salleh