Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengakui dirinya adalah individu yang dilapor menimbulkan ‘kekecohan‘ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, bagi mendedahkan kegiatan rasuah yang berlaku di kalangan pegawai.
“Saya bersyukur kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara,” katanya memetik laporan daripada MalaysiaKini.
Menurut Tiong, dia pada awalnya enggan mendedahkan perkara itu atas sebab sedang mengambil tindakan mengikut saluran yang betul. Tetapi disebabkan isu itu telah tular, dia terpaksa memberi penjelasan.
Tiada isu salah guna kuasa
Tiong menafikan laporan berita yang mendakwa dia menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk menyelamatkan seorang pelancong wanita warga China yang ditahan oleh pihak Imigresen.
Tiada sebab untuk dia berbuat demikian dengan kedudukannya sebagai menteri dan jika perkara itu berlaku, reputasinya juga akan turut terjejas.
Sebaliknya, wanita warga China itu katanya telah ditahan tanpa sebarang alasan yang munasabah. Dan penahanan wanita China itu telah menimbulkan masalah apabila kedua-dua pihak berkenaan mempunyai masalah komunikasi.
“Pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi. Namun kegagalan berkomunikasi kedua-dua pihak mengagalkan pihak Imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan dari pihaknya,” katanya.
Ada pas kebenaran masuk ke kawasan ketibaan
Mengulas mengenai dakwaan tidak mempunyai pas keselamatan ketika masuk ke dewan ketibaan, Tiong menafikannya.
“Saya memiliki pas yang sah untuk memasuki kawasan tersebut. Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang menteri pelancongan, seni dan budaya.
“Apa guna saya sebagai menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara. Tambahan pula ia menjejaskan mej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing?” katanya.
Gesa SPRM siasat pintu masuk KLIA
Jelas Tiong lagi, dia telah melobi penterjemah untuk warga asing dari TImur Tengah, China dan India sejak awal Mac lalu bagi melancarkan proses ketibaan dan kecekapan.
Tetapi, usahanya itu tidak diterima. Pihak berkenaan menolak menggunakan khidmat penterjemah yang telah disediakan oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAB).
Bagi Tiong, sudah tiba masanya pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke KLIA untuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku di pintu masuk utama negara ini.
Katanya, warga asing yang tiba di negara ini di mana mereka ditahan dan telefon bimbit mereka dirampas tanpa sebarang alasan sudah menjadi isu biasa.
Dakwa ada pegawai minta rasuah
Malah, wanita warga China yang ditahan tersebut juga hanya diberikan makanan sekali sehari sahaja dalam tempoh 15 jam ditahan.
“Saya juga diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaksan.
“Ada yang meminta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.
“Tambahan RM3,000 pula jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera melalui ‘laluan khas’. Manakala RM12,000 untuk kos memproses visa,” katanya.
Sumber: MalaysiaKini








