'Satu tuduhan berat', Naim Daniel mohon ruang bersihkan nama | The Reporter

‘Satu tuduhan berat’, Naim Daniel mohon ruang bersihkan nama

Naim Daniel selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual terhadap remaja perempuan.
Naim Daniel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan. Gambar: Video Berita Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel memohon ruang untuk membersihkan nama selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary, pagi tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, Naim didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang berusia 17 tahun 7 bulan pada 19 Mei lalu, kira-kira jam 8.56 malam di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Peguamnya, Amirul Abdul Rashid memaklumkan bahawa mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos depan.

Menurut Naim, beliau tidak akan mengulas lanjut kerana kes masih di peringkat awal.

“Saya faham ada banyak persoalan dan kejutan, tapi saya tidak mahu sebarang kenyataan yang boleh mengganggu perbicaraan. Saya serah kepada sistem keadilan dan akan beri kerjasama penuh dan harap doa dari semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa kertas siasatan kes telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Selangor yang kemudian mengarahkan pertuduhan dibuat.

Terdahulu, Naim ditahan pada 3 Jun lalu susulan laporan berhubung kes amang seksual terhadap pelajar perempuan berkenaan yang dikenalinya sejak dua bulan lalu. Namun, beliau dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

Sumber: Berita Harian

Related Posts