Saintis berjaya hidupkan semula serigala purba yang pupus 13,000 tahun lalu guna DNA fosil | The Reporter

Saintis berjaya hidupkan semula serigala purba yang pupus 13,000 tahun lalu guna DNA fosil

Anak serigala purba hasil teknologi DNA dari fosil gigi
Anak serigala purba yang telah pupus 13,000 tahun lalu kini kembali hidup hasil kajian genetik

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dire wolf ialah sejenis spesies serigala purba yang telah pupus kira-kira 13,000 tahun lalu, dikenali secara saintifik sebagai Aenocyon dirus. Haiwan ini pernah menghuni kawasan Amerika Utara semasa Zaman Ais dan terkenal kerana saiznya yang lebih besar, kuat dan ganas berbanding serigala kelabu moden.

Kini, spesies purba itu kembali ‘bernafas’ buat kali pertama dalam sejarah manusia. Syarikat bioteknologi dari Amerika Syarikat, Colossal Biosciences, mengumumkan kejayaan menghidupkan semula dire wolf menggunakan DNA purba yang diambil daripada gigi berusia 13,000 tahun dan tengkorak berusia 72,000 tahun.

Dengan bantuan teknologi pengklonan dan penyuntingan gen CRISPR, tiga anak dire wolf berjaya dihasilkan melalui ibu tumpang — anjing peliharaan baka besar. Dua daripadanya, dinamakan Romulus dan Remus, dilahirkan pada 1 Oktober 2024, manakala seekor betina bernama Khaleesi dilahirkan pada 30 Januari 2025. Ketiga-tiga nama diambil sempena tokoh legenda dan watak fiksyen berkait rapat dengan serigala.

Lokasi penempatan dirahsiakan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Colossal, Ben Lamm, haiwan itu dicipta dengan menyunting sel serigala kelabu agar membawa semula ciri-ciri fizikal dire wolf seperti bulu tebal berwarna putih, rahang besar dan kepala yang lebih lebar. “Ini pencapaian besar, dan membuktikan teknologi de-extinction kami benar-benar berfungsi,” katanya.

Ketiga-tiga anak dire wolf kini ditempatkan di kawasan seluas 2,000 ekar yang dirahsiakan lokasinya. Untuk mencipta semula haiwan purba ini, saintis mengenal pasti 20 suntingan gen daripada 14 gen utama yang membezakan dire wolf daripada serigala biasa.

Profesor Love Dalén dari Universiti Stockholm yang terlibat dalam projek ini menjelaskan, “Genetiknya masih 99.9% serigala kelabu, tetapi ciri yang dimasukkan membuatkan ia kelihatan seperti dire wolf sebenar.”

Ketua saintis Colossal, Beth Shapiro, berkata beliau yakin projek ini akan berjaya. “Bila saya lihat anak serigala putih itu lahir, saya tahu — itu dire wolf,” katanya kepada ABC News.

Sasar hidupkan semula spesis lain

Colossal turut merancang untuk menghidupkan semula spesies lain seperti mamot berbulu, harimau Tasmania dan burung dodo, dengan sasaran anak mamot pertama menjelang 2028. Malah, teknologi yang dibangunkan juga telah membantu kelahiran semula dua generasi serigala merah yang kini sangat terancam.

Namun begitu, pakar bioetika Dr. Robert Klitzman dari Universiti Columbia mengingatkan bahawa risiko tetap wujud. “Kita mungkin cipta serigala dua kali lebih buas atau haiwan yang tak terkawal. Tapi jika ia boleh hidup semula dalam persekitaran semula jadi tanpa ancaman, itu boleh beri manfaat,” katanya.

Sementara itu, beberapa pakar seperti ahli paleontologi Dr. Brenen M. Wynd mempertikaikan kejayaan ini. Menurutnya, “Ini bukan dire wolf sebenar. Mereka hanya mengubah haiwan sedia ada agar kelihatan seperti nenek moyang mereka. Ini hanya haiwan rekaan untuk zoo.”

Related Posts