Seorang wanita berkongsi pengalaman mencemaskan apabila pasport miliknya diisytiharkan rosak selepas diconteng oleh anak kecil berusia tiga tahun, sekali gus menyebabkan perancangan perjalanan ke luar negara terpaksa ditangguhkan.
Menurut perkongsiannya di Threads, insiden itu hanya disedari ketika dia sedang membuat persiapan untuk penerbangan pada malam tersebut. Anak kecilnya dipercayai mencapai pasport tanpa disedari lalu menconteng beberapa bahagian dokumen penting itu.
“Hati nak nangis. Flight malam ni, tengah packing, si kecik sebok menconteng passport, tak perasan bila dia capai passport ni, pagi ni melilau beratur kat imegresen,” tulisnya.
Keesokan paginya, dia terus mendapatkan pengesahan daripada pihak Imigresen dengan harapan pasport berkenaan masih boleh digunakan. Namun selepas dirujuk ke beberapa pejabat Imigresen termasuk di Kajang dan Putrajaya, pasport tersebut disahkan sebagai pasport rosak dan perlu melalui proses siasatan sebelum dokumen baharu dapat dikeluarkan.

Baca juga:
- Gara-gara contengan si kecil, hasrat terbang tertunda
- Fadhli ambil tindakan undang-undang terhadap Salim Iskandar
- 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila urusan tidak dapat diselesaikan pada hari yang sama kerana pegawai penyiasat tidak bertugas pada hujung minggu. Akibatnya, dia terpaksa menangguhkan penerbangan dan menukar tiket kepada hari Isnin dengan kos tambahan sebanyak RM620.
Walaupun kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku, wanita itu memilih untuk menerima ketentuan dengan hati yang terbuka. Menurutnya, menerima takdir membuatkan dirinya lebih tenang dan mampu memikirkan jalan penyelesaian dengan lebih rasional.
Dalam masa sama, dia turut menzahirkan penghargaan kepada netizen yang memberikan sokongan, nasihat serta berkongsi pengalaman masing-masing. Menariknya, dia tidak menyalahkan anak kecilnya atas kejadian tersebut kerana memahami usia kanak-kanak itu yang masih belum mengerti kesan daripada perbuatannya.
“Dia masih sebut nak pergi airport. Dia belum faham rancangan kami berubah disebabkan tindakannya sendiri,” tulisnya sambil berharap urusan mendapatkan pasport baharu dapat dipermudahkan sebelum penerbangan yang dijadualkan semula.









