Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Rumah pelakon terkenal, James Woods, yang terletak di Pacific Palisades, dilaporkan terselamat daripada kebakaran besar yang melanda Los Angeles. Kebakaran itu sebelum ini telah memusnahkan sebahagian besar kawasan kejiranan berkenaan.
“Keajaiban telah berlaku,” kata Woods dalam hantaran di platform X pada Jumaat.
“Kami berjaya sampai ke kawasan rumah kami, dan kediaman yang kami diberitahu telah musnah itu masih berdiri.”
Namun, Woods menjelaskan bahawa rumahnya turut terkesan dengan kerosakan akibat asap dan faktor lain.
“Dalam landskap neraka ini, istilah ‘berdiri’ adalah relatif, tetapi kerosakan akibat asap tidak sebanding dengan kemusnahan total di sekeliling kami,” tambahnya.
Sebelum ini, Woods bersama ratusan ribu penduduk Los Angeles lain telah dipindahkan apabila kebakaran semakin merebak dan bertambah buruk. Woods yang kerap berkongsi perkembangan di platform X, termasuk gambar-gambar rumah yang musnah di kawasan berdekatan, sebelum ini beranggapan bahawa rumahnya juga akan musnah.
“Saya sangat bersyukur atas semua mesej indah daripada anda semua,” tulis Woods lagi pada hari yang sama.
“Walaupun saya gembira rumah kami selamat, kawasan ini kelihatan seperti permukaan bulan yang gelap.”
Terdahulu, Woods sebelum ini menyatakan bahawa rumah agamnya telah musnah dalam kebakaran dahsyat tersebut. Ironinya, pelakon itu sebelum ini lantang meraikan serangan ganas Zionis terhadap penduduk Palestin dan turut menggunakan hashtag #KillThemAll di platform X.
Respon Woods mengenai kehilangan rumahnya telah mengundang kritikan daripada pemuisi Palestin, Mosab AbuToha.
“Rumah saya dibom dan keluarga saya terbunuh. Adakah itu bermakna apa-apa kepada anda?” tulis AbuToha di media sosial, mengecam ‘drama air mata’ Woods yang menangis ketika ditemu bual selepas insiden kebakaran tersebut.
Sumber: Sinar Harian








