Restoran Cina diserbu, jual burung merpati jalanan sebagai 'itik panggang' | The Reporter

Restoran Cina diserbu, jual burung merpati jalanan sebagai ‘itik panggang’

Burung merpati jalanan berdiri di atas jalan berbatu di tengah kota dengan latar belakang bangunan dan kenderaan.
Burung merpati yang biasa dilihat berkeliaran di bandar — pernah dijadikan ‘itik panggang’ di restoran yang diserbu pihak berkuasa di Madrid.

Sebuah restoran Cina di Madrid, Sepanyol mencetuskan kekecohan selepas didapati menjual burung merpati jalanan sebagai hidangan ‘itik panggang’.

Penemuan itu dibuat selepas pihak berkuasa menyerbu restoran Jin Gu di daerah Usera dan menemui mangkuk berisi burung merpati yang telah dicabut bulunya dan dimasak, bersama timun laut haram dan kepingan daging yang dijemur atas rak baju.

Lebih menjijikkan, media tempatan turut melaporkan kehadiran lipas berkeliaran di lantai dapur dan peti sejuk rosak yang menyimpan daging tanpa label dan tarikh luput. Insiden itu mengundang persoalan ramai, adakah burung merpati jalanan selamat untuk dimakan?

Secara umumnya, burung merpati jalanan dianggap tidak selamat dimakan kerana berisiko membawa penyakit. Menurut Intergum Services, merpati liar boleh membawa sehingga 60 jenis patogen berbahaya seperti E. coli dan Salmonella.

Kajian oleh Persatuan Kawalan Makhluk Perosak British (BPCA) juga mendapati 49% merpati jalanan berpotensi menyebarkan penyakit kepada manusia, biasanya melalui najis yang telah kering dan berdebu.

Walaupun begitu, daging burung merpati sebenarnya dimakan di beberapa negara — dikenali sebagai ‘squab’, iaitu daging anak merpati yang dibela secara ladang. Rasanya pula dikatakan seakan itik dan menjadi hidangan mewah di restoran tertentu.

Bezanya, squab diperoleh daripada merpati yang dibela atau diburu dari kawasan hutan, bukan yang berkeliaran di jalanan dan tempat awam. Ini kerana merpati jalanan terdedah kepada pelbagai kuman, toksin dan persekitaran tidak bersih yang menjadikan dagingnya tidak sesuai untuk dimakan.

Walaupun manusia boleh makan daging merpati, pastikan ia bukan daripada burung yang hinggap atas bumbung rumah atau menyelongkar tong sampah di taman.

Related Posts