Sebuah cawangan restoran terkemuka di Bukit Mertajam menjadi tumpuan netizen selepas seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti servis dan caj tambahan dikenakan ketika kunjungannya ke premis tersebut baru-baru ini.
Menurut pelanggan lelaki berkenaan, pengalaman di restoran itu amat mengecewakan apabila dia perlu menunggu hampir 30 minit untuk menerima pesanan meskipun keadaan restoran tidak sesak.
Lebih mengejutkan, dia mendakwa pihak restoran mengenakan caj RM1.20 bagi sepeket kecil kicap selepas pihak restoran tidak mengisi semula bekas kicap pam yang sepatutnya tersedia di dulang perasa.Â
“Bayangkan dah tunggu lama, bila makanan sampai nasi dan kobis sejuk pula. Kicap pula kena caj RM1.20 tapi tak cukup pun untuk satu set menu. Kalau nak buat business, kenapa buat customer macam ni?” katanya dalam video TikTok yang kini tular dengan lebih 300,000 tontonan.
Tambahnya, dia tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana perniagaan, namun menganggap apa yang berlaku sebagai satu bentuk layanan tidak wajar terhadap pelanggan yang membayar untuk perkhidmatan.
Dalam hantaran tersebut, lelaki berkenaan turut menunjukkan suasana restoran yang kelihatan lengang tetapi servis tetap perlahan dan tidak efisien, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warganet.
Rata-rata pengguna media sosial menyatakan sokongan terhadap kritikan itu dan menyifatkan caj tambahan untuk pek kicap sebagai keterlaluan, terutama apabila servis asas seperti penyediaan makanan panas dan perasa tidak diberikan dengan baik.
Setakat ini, pihak pengurusan restoran belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai aduan tersebut.
Sumber: TikTok thekonakona








