Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Toulouse, Perancis – Seorang remaja yang lumpuh selepas menceroboh dan terjun ke dalam kolam renang secara haram kini menuntut ganti rugi dari pemilik apartmen tersebut kerana kecuaian.
Pada tahun 2022, remaja berusia 18 tahun itu menyertai cabaran ‘pool squatting’ yang popular di media sosial. Cabaran ini melibatkan pencerobohan kolam renang peribadi untuk berenang. Malangnya, terjunan remaja tersebut menyebabkan tulang belakangnya patah dan dia lumpuh dari leher ke bawah.
Dua tahun kemudian, remaja tersebut tampil menuntut ganti rugi dari syarikat pengurusan apartmen atas tuduhan cuai. Di bawah undang-undang Perancis, pemilik apartmen boleh dipertanggungjawabkan atas kecederaan yang berlaku di harta mereka, walaupun pihak yang cedera masuk secara haram.
Peguam Fabien Gaillard menjelaskan, pemilik apartmen mesti bertanggungjawab atas kecederaan yang berlaku di harta mereka, walaupun orang itu masuk secara haram.
Bagaimanapun, pemilik apartmen berkata, mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan seperti memasang papan tanda kedalaman kolam yang dipaparkan dengan jelas. Malah mereka telah mengarahkan remaja tersebut untuk meninggalkan premis pada hari kejadian.
Alexandra, salah seorang pemilik apartmen berkata, “Kami berasa kasihan kepada dia yang mencederakan dirinya, tetapi dia tahu dia tidak sepatutnya berada di sana.”
Pertikaian undang-undang ini menimbulkan persoalan penting mengenai hak dan tanggungjawab pemilik apartmen. Walaupun kehidupan remaja tersebut telah berubah secara tidak dapat dipulihkan, pemilik apartmen terpaksa menghadapi tindakan undang-undang dari insiden yang berlaku walaupun telah berusaha untuk melindungi harta mereka. – Agensi








