Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dari Tumpat, Kelantan menjadi mangsa jenayah serangan seksual selepas menunggang motosikal bersama rakan sebayanya ke Kulim, Kedah untuk bertemu seorang lelaki yang dikenali menerusi media sosial.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, insiden ini berlaku pada Mac lalu apabila motosikal mereka mengalami kerosakan di Gerik, Perak dan kedua-dua gadis itu menumpang kereta orang awam untuk meneruskan perjalanan.
Mangsa kemudiannya bertemu dengan lelaki berusia lebih 30 tahun yang bekerja sebagai buruh, sebelum dibawa ke sebuah lokasi di Kulim dan diserang secara seksual.
Ibu bapa mangsa membuat laporan polis selepas anak mereka hilang selama empat hari, dan siasatan kemudian membawa kepada penahanan suspek serta pengesahan doktor bahawa remaja itu telah menjadi mangsa jenayah seksual.
Menurut Mohd Yusoff, antara punca utama kejadian seperti ini berlaku adalah kerana kecenderungan mangsa terhadap bahan pornografi dan pengaruh negatif media sosial.
Kes ini menunjukkan trend yang membimbangkan apabila semakin ramai remaja bawah umur sanggup merentas negeri untuk bertemu kenalan media sosial tanpa pengetahuan ibu bapa, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jenayah seksual.
Justeru golongan ibu bapa digesa agar lebih peka dan tidak berlepas tangan dalam memantau anak-anak, terutamanya di kawasan luar bandar.
Ringkasan Berita:
• Remaja perempuan 14 tahun jadi mangsa serangan seksua selepas merentas negeri bertemu kenalan media sosial
• Suspek lelaki berusia lebih 30 tahun ditahan polis untuk siasatan
• Polis dedah pengaruh media sosial dan bahan tidak sesuai punca utama








