Razman mohon maaf kepada Nga Kor Ming, berjanji takkan buat lagi | The Reporter

Razman mohon maaf kepada Nga Kor Ming, berjanji takkan buat lagi

Permohonan Maaf Razman kepada Nga Kor Meng

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, secara terbuka memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Meng, berhubung dengan kenyataan media yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu bertajuk “Siasat Tindakan Provokasi”.

Kenyataan tersebut telah disiarkan melalui laman sosial Facebook PAS Perak dan mengandungi dakwaan-dakwaan yang tidak berasas mengenai penglibatan Nga dalam perarakan yang mengibarkan bendera negara China, di Menara Condong, Teluk Intan.

Jelas Razman, siaran media tersebut dibuat tanpa menyedari dua program yang diadakan pada 13 September dan 24 Oktober adalah program yang berbeza.

Setelah diteliti dengan mendalami, Razman mendapati Nga tidak berada di lokasi perarakan yang menjadi kontroversi itu. Maka dengan itu, Razman menarik balik siaran tersebut sebagai tanda permohonan maaf.

Dalam permohonan maafnya yang disiarkan di Facebook yang sama, 11 Disember, Razman mengakui beberapa dakwaan yang dinyatakan itu adalah tidak benar, termasuk tuduhan yang mengatakan Nga terlibat, menganjurkan atau member restu kepada perhimpunan yang mencabar kedaulatan dan keharmonian Malaysia, serta membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Dia juga menegaskan dakwaan-dakwaan itu semua adalah tidak berasas dan memohon maaf tanpa syarat kepada Nga atas segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan kepadanya disebabkan dakwaan tersebut.

Razman yang juga merupakan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak turut berjanji tidak akan membuat dakwaan yang serupa atau bersifat sama kepada Nga pada masa akan datang.

Related Posts