Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bau busuk yang mencurigakan dari sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan akhirnya membawa kepada penemuan rangka manusia di kediaman dua tingkat itu pada Sabtu lalu.
Memetik Sinar Harian, rangka berkenaan dipercayai milik anak bongsu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi, yang pernah berkhidmat antara tahun 1959 hingga 1964.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan awal sekitar jam 2.24 petang daripada seorang ahli keluarga mangsa.
“Lelaki berusia 78 tahun itu memaklumkan hasrat untuk melawat adiknya yang berusia 75 tahun dan tinggal bersendirian di rumah kayu lama dua tingkat tersebut.
“Namun, sebaik tiba di lokasi, dia terhidu bau busuk yang mencurigakan. Cubaan mencari mangsa tidak berhasil kerana tangga kayu untuk naik ke tingkat atas telah reput,” katanya.
Baca juga:
- Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta
- Pelajar Tingkatan Dua maut ditembak ketika bermain sembunyi-sembunyi
- Hilang semangat kerja gara-gara penilaian prestasi oleh pegawai tidak dikenali
Susulan itu, laporan polis dibuat sebelum pihak berkuasa bersama pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan.
“Hasil siasatan awal menemukan rangka dan tengkorak manusia di bahagian atas rumah. Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat,” tambahnya.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).









