Puluhan rakyat Korea Selatan menggesa kerajaan negara itu supaya tidak menghantar tentera ke Selat Hormuz, susulan pertimbangan Seoul untuk menyumbang kepada usaha keselamatan di laluan perairan strategik berkenaan.
Kira-kira 60 peserta menyertai demonstrasi berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Seoul pada Rabu, sambil membawa sepanduk bertulis “Jangan sertai perang pencerobohan” dan membantah kemungkinan penglibatan ketenteraan Korea Selatan.
Menurut laporan AFP, peserta turut melaungkan, “Kami tidak boleh menghantar anak muda kami ke lautan maut!” sebagai tanda bantahan terhadap cadangan berkenaan.
Protes itu berlangsung sehari selepas Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesahkan penghantaran pasukan penilai ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi meninjau keadaan keselamatan di sekitar Selat Hormuz.
Bagaimanapun, kementerian berkenaan menegaskan misi tersebut tidak dibuat dengan andaian bahawa tentera akan dihantar dan tiada keputusan dibuat berhubung penempatan tentera.
Seoul sebelum ini menyatakan sedang menilai beberapa pilihan untuk menyumbang kepada usaha memastikan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, dengan syarat ia tidak menjejaskan kesiapsiagaan ketenteraan Korea Selatan.
Cadangan penglibatan itu turut mendapat tekanan daripada Amerika Syarikat ketika konflik Washington dan Iran terus berlarutan. Pada masa sama, Iran memberi amaran bahawa sebarang kehadiran tentera Korea Selatan di Teluk atau Selat Hormuz akan dianggap sebagai sokongan langsung terhadap tindakan Amerika Syarikat dan boleh membawa “akibat serius”.
Jung Kyung-jik daripada kumpulan People’s Solidarity for Participatory Democracy berkata penghantaran tentera ke rantau itu akan dianggap sebagai penyertaan langsung dalam perang yang didakwanya melanggar undang-undang antarabangsa.
Seorang lagi peserta, Choi Young-ok daripada Korean Peace Solidarity for Sovereignty and Reunification, pula memberi amaran bahawa sebarang penempatan tentera berpotensi menyebabkan korban jiwa.
Jika Seoul memutuskan untuk menghantar angkatan bersenjata ke Selat Hormuz, langkah tersebut memerlukan kelulusan Parlimen Korea Selatan melalui undian majoriti di Dewan Negara.
Sumber:Reuters, Al-Jazeera, Yonhap News








