Malaysia menawarkan bantuan kepada Republik Indonesia bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah yang sedang berlaku, termasuk menerusi keupayaan pemadaman kebakaran dari udara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, tawaran itu disampaikan melalui surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat.
Menurut beliau, tawaran tersebut susulan perbincangan ketika pertemuan dua hala di Bali pada 8 Julai lalu dan panggilan telefon pada 24 Ogos 2026. Kedua-dua negara turut komited memperkukuh tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi menangani risiko kebakaran serta jerebu merentas sempadan.
Malaysia menawarkan bantuan termasuk operasi water bombing menggunakan helikopter, sokongan pemadaman menggunakan pesawat amfibi serta pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA), bergantung kepada keperluan dan keadaan di lapangan.
Baca juga:
- Malaysia tawar bantuan kepada Indonesia tangani kebakaran hutan dan tanah
- ‘Adakah membiarkan anjing hidup bermaksud kami memilikinya?’ – Keluarga Haira
- Isu nepotisme cetus keluhan di Threads
Keupayaan bantuan itu dikenal pasti melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan penglibatan JBPM, APMM, MET Malaysia dan TUDM. Bagaimanapun, bentuk dan skop bantuan tertakluk kepada persetujuan kedua-dua kerajaan.
“Penyelarasan bantuan akan dibuat selaras dengan ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP), yang membolehkan negara anggota ASEAN menawarkan bantuan tertakluk kepada permintaan dan persetujuan negara penerima.
“Malaysia menghormati sepenuhnya kedaulatan Republik Indonesia dan bersedia untuk memperincikan bentuk, skop serta penyelarasan bantuan bersama pihak berkuasa Republik Indonesia sekiranya tawaran ini diterima,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memantau pergerakan titik panas dan kualiti udara menerusi JAS serta MET Malaysia, selain mengekalkan kerjasama rapat dengan Indonesia.









