Ahli Parlimen Pandan, Datuk Rafizi Ramli menafikan dakwaan yang mengaitkan serangan terhadap anaknya baru-baru ini dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurut beliau, tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan merupakan cubaan jahat untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
“Ada yang cuba kaitkan serangan ke atas anak saya dengan Ismail Sabri atau KJ. Saya tak selidik atau sentuh kedua-duanya, ini cubaan jahat mengalihkan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi menjelaskan, insiden serangan terhadap anaknya minggu lalu diikuti dengan mesej-mesej ugutan yang bertujuan untuk menutup mulutnya.
“Serangan itu diikuti dengan mesej-mesej ugutan yang mahukan saya diam. Jadi timbul persoalan siapa yang mahu saya diam dan diam mengenai isu apa.
“Saya telah mengesahkan bahawa seminggu sebelum serangan, memang saya ada berjumpa dengan pemberi maklumat mengenai satu skandal yang saya sedang teliti,” katanya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Tidak melibatkan tokoh politik
Beliau turut menegaskan bahawa maklumat yang diterimanya bukan membabitkan mana-mana tokoh politik seperti Ismail Sabri atau Khairy, sebaliknya berkaitan urus niaga syarikat yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tuduhan pertama, kononnya saya sedang meneliti satu kes yang melibatkan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. Konon melibatkan wang yang dicuci di luar negara.
“Tuduhan terkini, kononnya saya sedang meneliti satu lagi kes melibatkan Saudara Khairy Jamaluddin dan projek-projek semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan.
“Kedua-dua tuduhan ini tidak benar. Maklumat yang diberikan adalah bersabit Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mengenai urusniaga syarikat-syarikatnya,” katanya.
Alih perhatian rakyat
Rafizi berpandangan, penyebaran berita tidak benar itu adalah satu taktik untuk memesongkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang sedang disiasat.
“Saya melihat timbulnya pelbagai berita tidak benar ini adalah satu usaha untuk mengalih perhatian rakyat dan siasatan. Lagi banyak cerita-cerita seperti ini timbul, lebih ramai yang akan membuat kesimpulan sendiri bahawa ia usaha untuk mengalih perhatian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Ismail Sabri yang membuat laporan polis berhubung penyebaran tuduhan tidak berasas tersebut.
“Saya telah berhubung dengan Dato’ Ismail Sabri Yaakob dan menyokong sepenuhnya keputusan beliau untuk membuat laporan polis mengenai berita-berita tidak benar begini,” katanya.








