Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti | The Reporter

Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti

afizi Ramli jawab surat tunjuk sebab PKR dan desak keputusan Lembaga Disiplin dibuat segera
Gambar: Malaysia Gazette

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menegaskan beliau bersedia dipecat sekiranya penjelasan yang dikemukakan terhadap surat tunjuk sebab didapati melanggar Perlembagaan parti. Pada masa sama, beliau menggesa Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan secara tegas dan segera tanpa terus melengah-lengahkan perkara berkenaan.

Dalam jawapan balas terhadap surat tunjuk sebab kedua bertarikh 9 April 2026, Rafizi mempertahankan kenyataan-kenyataan terdahulu termasuk teguran mengenai budaya “bodek” dalam parti. Menurutnya, perkara itu bukan isu baharu malah telah lama dibangkitkan secara terbuka, termasuk di hadapan presiden parti dalam beberapa kongres sebelum ini.

“Teguran itu (yang bermakna presiden atau mana-mana kepimpinan tertinggi parti tidak boleh membudayakan amalan bodek) bukanlah teguran baru. Saya selalu menyebutnya secara berdepan dengan presiden parti dalam ucapan-ucapan saya di kongres parti sebelum ini.

“Rakaman-rakaman teguran saya mengenai budaya bodek yang menyubur di dalam parti ini berlegar meluas di media sosial,” katanya.

Nafi dakwaan terlibat dalam perhimpunan

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa dirinya menganjurkan satu perhimpunan berkaitan isu tata kelola negara, sebaliknya menjelaskan ia digerakkan oleh kumpulan aktivis bebas. Katanya, penyertaan pemimpin politik dalam himpunan seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa, malah pernah dilakukan pimpinan parti sendiri sebelum ini.

“Perhimpunan itu dianjurkan oleh sekumpulan aktivis anak muda yang memanggil diri mereka Sekretariat Tangkap Azam Baki. Ia tidak dianjurkan oleh saya, seperti yang dituduh di dalam surat tunjuk sebab.

“Ia tidak berbeza dari Perhimpunan Bersih yang dianjurkan oleh kumpulan bukan partisan dan menjemput tokoh pelbagai bidang (termasuk ahlipolitik) untuk berucap,” jelasnya.

Baca juga:
Kontrak Azam Baki

Dalam masa sama, Rafizi menegaskan kritikan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk berkaitan isu pelanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, adalah berpunca daripada tindakan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan, bukannya semata-mata hasil ucapannya.

“Kritikan bahawa presiden mempertahankan Tan Sri Azam Baki yang terpalit dalam skandal bukanlah satu implikasi dari ucapan saya tempoh hari diperhimpunan tersebut. Ia berpunca dari tindakan-tindakan presiden sendiri,” katanya.

Beliau juga membangkitkan isu serangan peribadi yang didakwa dilemparkan terhadapnya oleh beberapa pimpinan parti di peringkat cabang. Menurutnya, sehingga kini tiada teguran atau arahan daripada kepimpinan tertinggi supaya serangan berbentuk cacian tersebut dihentikan, sekali gus menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat.

Persoal ketelusan pengendalian kes

Selain itu, Rafizi turut menyentuh beberapa dakwaan melibatkan individu tertentu yang dikaitkan dengan kepimpinan parti dan mempersoalkan ketiadaan tindakan undang-undang atau siasatan terhadap isu-isu berkenaan. Katanya, perkara itu menimbulkan tanda tanya mengenai ketelusan dan keadilan dalam pengendalian kes.

“Kenyataan itu banyak berkisar kepada laporan-laporan mengenai perilaku presiden berhubung beberapa orang tertentu, terutamanya Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan.

“Dakwaan bahawa presiden parti selaku Perdana Menteri mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat Farhash Wafa Salvador dilaporkan oleh Bloomberg.

“Sehingga kini, presiden parti tidak mengambil tindakan saman terhadap Bloomberg mengenai laporan itu,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Lembaga Disiplin perlu bertindak segera dan konsisten dalam membuat keputusan, termasuk mengambil tindakan pemecatan sekiranya didapati bersalah, sebagaimana yang pernah dikenakan terhadap anggota parti lain sebelum ini.

“Saya berharap Lembaga Disiplin membuat keputusan yang tegas, cepat dan tidak lagi melengah-lengahkan perkara ini kerana rakyat sudah mual. Jika penjelasan saya itu dikira telah melanggar Perlembagaan parti, jadilah seperti sebuah parti yang normal (dan tidak songsang) dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini,” katanya.

Related Posts