Puma berhenti taja pasukan bola sepak kebangsaan Israel tahun 2024 - The Reporter

Puma berhenti taja pasukan bola sepak kebangsaan Israel tahun 2024

Jenama sukan, Puma, akan berhenti menaja pasukan bola sepak kebangsaan Israel pada tahun depan.

Menurut jurucakap syarikat pakaian sukan dari Jerman itu pada Selasa, keputusan itu dibuat sejak tahun lalu dan tiada kaitan dengan seruan pengguna yang menggesa pihaknya memboikot Israel yang sedang berperang dengan Gaza.

Difahamkan, Puma telah lama menghadapi seruan boikot ke atas jenamanya sejak menaja bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA). Namun seruan itu meningkat sejak dua bulan lalu ekoran tindakan zalim Israel berterusan menyerang Gaza sehingga mengorbankan lebih 18,000 penduduk Palestin.

Dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada agensi berita Reuters, jurucakap Puma berkata, kontrak syarikatnya dengan beberapa pihak lain, termasuk Serbia dan Israel, akan tamat pada tahun 2024 dan tidak akan diperbaharui.

Puma akan segera mengumumkan perjanjian dengan beberapa pasukan kebangsaan baharu, sebagai sebahagian daripada strateginya.

Puma pertama kali menandatangani kontraknya dengan IFA untuk menyediakan kit kepada pemain pada tahun 2018. Sejak dari itu, Puma menerima seruan boikot daripada aktivis pro-Palestin.

Awal minggu ini, syarikat fesyen Zara bertindak menarik balik kempen pengiklanan dari laman webnya setelah mendapat reaksi negatif orang ramai kerana gambar-gambar yang digunakan dalam kempen itu kelihatan meniru adegan penderitaan di Gaza dan mencetuskan seruan boikot dari aktivis pro-Palestin.

Sumber: Aljazeera

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!