Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan seorang bekas guru di Selayang membayar ganti rugi sebanyak RM85,000 kepada bekas muridnya yang dipukul menggunakan penyapu, sehingga mengalami kecederaan dan menerima lima jahitan di kepala.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Hazizah Kassim, membuat keputusan itu selepas menerima rayuan murid tersebut, kini berusia 13 tahun, yang diwakili bapanya.
Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang sebelum ini menolak saman terhadap guru wanita berusia 60 tahun tersebut.
Hazizah menegaskan, tindakan guru menggunakan penyapu untuk mendisiplinkan murid tidak lagi relevan pada masa kini dan berharap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Bagaimanapun, saman terhadap guru besar dan kerajaan Malaysia ditolak kerana mereka tidak bertanggungjawab dalam insiden tersebut.
Guru tersebut diarahkan membayar ganti rugi am RM15,000, ganti rugi teladan RM70,000, dan kos rayuan sebanyak RM5,000.
Dalam saman yang difailkan pada 17 Oktober 2022, plaintif yang ketika itu berusia lapan tahun mendakwa bahawa semasa insiden tersebut, dia sedang berjalan kembali ke tempat duduknya apabila tiba-tiba dipukul di kepala oleh guru tersebut, menyebabkan kecederaan serius dan pendarahan.
Plaintif kemudiannya menerima rawatan di sebuah klinik di Gombak dan mendapat lima jahitan di bahagian kepala. Bapanya membuat laporan polis pada hari yang sama, dan guru tersebut memberikan penjelasan bahawa tindakan itu diambil kerana murid berkenaan tidak berada di tempat duduk semasa sesi pembelajaran.
Dalam samannya, plaintif mendakwa bahawa pihak sekolah gagal melindungi keselamatannya semasa berada di sekolah, yang membawa kepada kecederaan yang dialaminya.
Sumber: Bernama








