Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah menemukan pelbagai barangan di salah sebuah premis Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Rampasan berupa janggut bulu, perca kain, pakaian dan darah dijadikan sebagai ‘bahan berkat.’
Menerusi hantaran di Facebook milik Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS), didedahkan penemuan berkenaan membuktikan ‘air berkat’ dimasukkan ke dalam makanan dan minuman setiap ahli dan pelanggan di premis GISBH.
Antara kandungan air berkat yang ditemui adalah mengandungi air campuran peluh Abuya yang dijadikan sebagai air berkat, air liur RSA (Abuya), air janggut Abuya dan air wadah (bekas/balang Abuya).
Selain daripada itu air berkat itu juga terdiri daripada air mandian Abuya yang ditadah.
“Air mandian ini bukan lagi sekadar basuhan kaki dan basuhan lengan sahaja. Air merangkumi segenap sudut anggota badan yang digosok dan digonyoh. Lalu air itu akan ditadah ke dalam bekas besar dan air itu akan diagih kepada ahli-ahli untuk kegunaan berkat.
“Air liur atau ludahan Abuya (mungkin termasuk hingus dan kahak?) juga dijadikan sebagai air berkat. Jika anda masih ingat slogan air, roti, biskut dan makanan Ikhwan sinonim dengan tema berkat. Inilah kandungan tambahannya,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali menafikan dakwaan tentang ‘air berkat’ yang dimasukkan ke dalam bahan masakan di premis mereka.