Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyasarkan untuk menawan tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, fokus utama parti itu adalah merampas kembali kerusi Parlimen Muar, selain Pagoh dan Mersing.
“Kita melihat kerusi Parlimen Muar berpotensi besar untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16). Muar pernah menjadi kerusi perjuangan kita dan Keadilan Johor bertekad untuk merampasnya semula,” katanya.
Selain itu, PKR Johor turut menyasarkan empat kerusi DUN iaitu Maharani (Muar), Endau (Mersing), Bukit Kepong (Pagoh) dan Puteri Wangsa (Tebrau).
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Dr Noraishah Mydin, umum tarik diri dari PKR
- Ucapan Ramanan dicelah Hassan Karim, cetus ketegangan di Konvensyen PKR Johor
Menurut Zaliha, ketika ini PKR memegang 14 kerusi Parlimen di Johor yang menjadi antara penyumbang utama pembentukan Kerajaan Persekutuan bersama komponen Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang menegaskan, kekuatan akar umbi serta persediaan jentera akan menjadi tumpuan dalam usaha menawan kerusi yang disasarkan.
Dalam pada itu, Zaliha mengingatkan bahawa beberapa pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung dalam masa terdekat, termasuk di Sabah, Melaka dan Johor, sementara PRU-16 semakin hampir.
Sumber: Malaysia Gazette








