Kerajaan utamakan projek bermanfaat untuk rakyat – Anwar | The Reporter

Kerajaan utamakan projek bermanfaat untuk rakyat – Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di hadapan diaspora Malaysia dalam satu majlis makan malam rasmi
Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan kepada warga Malaysia di Itali, menekankan keutamaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat. | Kredit gambar: Facebook rasmi Perdana Menteri

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan MADANI bersedia mengambil langkah berani, termasuk keputusan yang tidak popular demi memastikan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dapat dilaksanakan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan seperti rasionalisasi subsidi atau penetapan semula kadar tarif perlu dilakukan walaupun ada pihak yang mempertikaikannya.

Menurut Anwar, sejak sekian lama kerajaan-kerajaan sebelum ini telah menyuarakan niat untuk menarik semula subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing, namun tiada tindakan tegas diambil.

“Semua kerajaan dan semua perdana menteri sebelum ini menyatakan bahawa subsidi yang dinikmati oleh warga asing akan ditarik balik namun tiada siapa yang mengambil tindakan sewajarnya,” katanya memetik laporan Bernama.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama diaspora Malaysia sempena lawatan kerja ke Rom, Itali. 1 Julai 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama diaspora Malaysia sempena lawatan kerja ke Rom, Itali. 1 Julai 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, Kerajaan MADANI telah mula melaksanakan pelbagai pembaharuan, termasuk rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan cukai tertentu, supaya hasil negara boleh digunakan membina lebih banyak sekolah, universiti dan hospital untuk keperluan rakyat.

Dalam sesi makan malam semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora Malaysia di Itali malam semalam, Anwar turut berkongsi beberapa dasar lain yang sedang dijalankan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi global. Beliau menyifatkan langkah-langkah ini sebagai pelaburan jangka panjang yang memerlukan sokongan semua pihak, termasuk rakyat Malaysia di luar negara.

“Kepada diaspora Malaysia di Itali, anda adalah duta dan aset kami. Anda mempunyai peranan yang besar untuk membawa negara ke platform antarabangsa. Justeru, saya titipkan pesan agar anda terus merebut setiap peluang dan ruang untuk memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan demi menyumbang semula kepada tanah air serta tadbir urus yang baik,” ujar beliau.

Sumber: Bernama

Related Posts