Produk kopi, biskut diarah tarik balik dari pasaran dengan segera | The Reporter

Produk kopi, biskut diarah tarik balik dari pasaran dengan segera

Produk kopi dan biskut ditarik balik dari pasaran selepas sijil halal dibatalkan kerana berus bulu babi digunakan.
Gambar: Malaysia Gazette

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dua syarikat pengeluar kopi dan biskut tempatan di Melaka diarahkan menarik balik semua produk mereka dari pasaran dengan segera selepas sijil halal masing-masing dibatalkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata langkah ini diambil bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam, selepas pihak berkuasa menemui bahan yang tergolong dalam kategori mughallazah atau najis berat pada peralatan pengeluaran serta serbuk minuman.

Beliau menjelaskan bahawa pengeluaran produk sepanjang tempoh tertentu mesti dihentikan dan ditarik balik sepenuhnya, dengan pemantauan.

“Tiada tempoh tertentu ditetapkan. Syarikat terbabit perlu menyelesaikan syarat-syarat yang ditetapkan sebelum boleh memohon semula sijil halal dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” jelasnya.

Baca juga:

Rahmad menambah bahawa pihaknya, bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), akan terus memantau kehadiran produk itu di pasaran. Sekiranya logo halal digunakan tanpa kelulusan, tindakan termasuk rampasan produk akan diambil.

Terdahulu, sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi untuk membersihkan peralatan.

Kesalahan itu dikesan menerusi pemeriksaan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu sebelum berus berkenaan disita dan dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk analisis lanjut.

Keputusan pada Mac mengesahkan berus tersebut mempunyai ciri fizikal bulu babi.

Sumber: Harian Metro

Related Posts