Satu video tular di media sosial menunjukkan cermin belakang sebuah kereta pecah akibat dibaling batu oleh seorang penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Kumarasan berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun. Menurutnya, kejadian berlaku pada Isnin ketika mangsa memandu di Lebuh raya Second Link menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
“Mangsa memaklumkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha XMAX warna merah bernombor pendaftaran Singapura tiba-tiba mengubah haluan sebelum bertindak mengejar dan membaling batu ke arah keretanya,” katanya.
Tindakan itu menyebabkan cermin besar bahagian belakang kereta pecah. Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran kawasan Taman Bukit Indah, Johor.
Menurut Kumarasan, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 1 hingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan; jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 5 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Bagi sabitan kedua, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda RM10,000 hingga RM20,000.
Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan agar menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau Hotline 07-5114486.








