Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Susulan tragedi yang menyebabkan dua penunggang motosikal maut di Putrajaya akibat dirempuh lori semalam, pihak berkuasa akan meningkatkan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dan perdagangan di sekitar ibu negara mulai hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majib berkata, operasi itu akan tertumpu di semua laluan keluar masuk ibu negara dan Putrajaya.
“Mulai hari ini kita tingkatkan operasi ke atas kenderaan berat dan komersial dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Operasi ini akan dipertingkatkan di laluan-laluan masuk kerana kemalangan semalam contohnya berlaku di laluan masuk dari Puchong, Selangor,” katanya memetik laporan dari portal Malaysia Gazette, Khamis, 21 September 2023.
Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, dua penunggang motosikal disahkan meninggal dunia akibat dirempuh sebuah lori yang membawa muatan batu pasir kerana gagal memberhentikan kenderaannya di Jalan Persiaran Utara menghala ke Presint 12.
Sebelum kejadian itu, anggota trafik telah memberhentikan kenderaan di laluan tersebut bagi menjalani latihan awal persiapan perlumbaan basikal, Le Tour de Langkawi (LTDL).
Pemandu lori berusia 25 tahun terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Allaudeen turut menasihatkan orang ramai tidak menggunakan sebarang alat peranti yang boleh mengganggu fokus pemanduan dan akhirnya menyebabkan kemalangan yang tidak diingini berlaku.
Sumber: Malaysia Gazette