Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam semalam, mencetuskan situasi panik di kalangan pengunjung. Kejadian berlaku sekitar jam 10.50 malam, melibatkan seorang suspek yang menembak pekerja di kawasan tersebut sebelum melarikan diri.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, siasatan mendapati mangsa bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah tersebut. Ketika mangsa sedang menyimpan peralatan di tingkat atas, suspek tiba-tiba melepaskan empat das tembakan yang mengenai kaki dan punggung mangsa. Mangsa yang cedera segera melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek menuju ke tingkat P2.
Di tingkat tersebut, suspek sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai cermin tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri.
Dalam usaha melarikan diri, suspek dilaporkan menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung pusat beli-belah itu. Suspek mengacukan pistol ke arah pemandu dan memaksa individu tersebut memandu keluar dari kawasan Shah Alam sebelum menghilangkan diri di sebuah lebuh raya.
Suspek 11 rekod jenayah lampau
Polis menerima tujuh laporan berhubung kejadian ini daripada saksi awam. Semua saksi telah tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan awal mengenal pasti suspek sebagai seorang lelaki warga tempatan berusia sekitar 30-an dengan rekod jenayah lampau yang melibatkan 11 kes berkaitan dadah dan jenayah lain. Motif kejadian masih disiasat.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman mati, dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan. Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Mohd Afandi Ahmad, di talian 016-7252948 atau bilik gerakan IPD Shah Alam di talian 03-5520 2222.








