Polis sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam serangan terhadap wartawan sukan terkenal, Haresh Deol, dalam kejadian berhampiran Bangsar Village, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, ketika kejadian, mangsa yang juga Pengarang Urusan portal berita Twentytwo13, sedang berjalan di kaki lima menghala ke Jalan Telawi sebelum didatangi dan diserang oleh tiga individu.
“Kes terbabit melibatkan tiga suspek mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang merupakan wartawan sukan.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan (luka) pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya.
ACP Hoo memaklumkan bahawa ketiga-tiga suspek belum dikenal pasti setakat ini, namun usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Beliau menambah, pegawai penyiasat akan memohon Perintah OTI daripada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan kebenaran menjalankan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Adnan Alias, di talian 019-216 2272.
Menerusi hantaran di platform X, Haresh memaklumkan mengenai kejadian yang menimpanya.
“Saya baru sahaja diserang oleh dua individu, manakala seorang lagi merakam video saya ketika diserang. Laporan polis telah dibuat,” katanya.
Sumber: Astro Awani








