Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Cadangan membina jambatan dari tanah besar ke Langkawi sekali lagi dipersoalkan apabila Ahli Parlimen kawasan itu, Mohd Suhaimi Abdullah (PN) mengusulkan satu alternatif yang disifatkan lebih praktikal dan mesra alam iaitu pembinaan LRT atau MRT.
Katanya, langkah membawa masuk lebih banyak kereta ke pulau itu melalui jambatan hanya akan menambah kesesakan. Sebaliknya, pengangkutan rel bukan sahaja lebih efisien, malah boleh menjadi tarikan tambahan kepada landskap pelancongan Langkawi.
“Kita boleh gunakan laluan rel ini untuk kegunaan lain seperti menyalurkan paip air dan kabel utiliti, sama seperti konsep jambatan Pulau Pinang,” ujarnya ketika berbahas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat semalam.
Baca juga:
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
- Dihina dan dicemuh, anggota Bomba Sandakan kongsi situasi sebenar
Beliau turut membangkitkan masalah paip dasar laut sepanjang 37 kilometer yang membekalkan air dari tanah besar, yang kini sudah berusia lebih empat dekad dan memerlukan kos pembaikan besar.
Mohd Suhaimi sebelum ini pernah mencadangkan projek MRT dari Alor Setar ke Kuah pada 2023, namun Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook ketika itu menyifatkan ia sukar dilaksanakan kerana melibatkan laluan merentasi laut.
Sehingga kini, tiada permohonan rasmi diterima kementerian walaupun kerajaan Kedah telah menandatangani MoU dengan firma Korea Selatan bagi kajian kebolehlaksanaan projek itu.
Sumber: Free Malaysia Today








