Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan pihak pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan bagi mempertingkatkan kadar pembayaran balik tanpa membebankan peminjam, selepas Aidilfitri ini.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan PTPTN untuk membentangkan cadangan penambahbaikan selepas Aidilfitri bagi mempertingkat kadar pembayaran balik tanpa membebankan peminjam,” katanya.
Anwar juga telah meneliti isu kadar pembayaran balik PTPTN yang masih rendah dan menyedari kepentingan memastikan kelestarian dana ini agar generasi akan datang terus mendapat manfaat.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi kementerian untuk meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.
“Antara isu utama yang dibincangkan adalah persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Science, Technology, Engineering, and Mathematics (STEM), dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang kian berkembang pesat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, rata-rata orang ramai menyambut baik cadangan berkenaan yang dilihat tidak membebankan peminjam selain memastikan generasi akan datang mendapat manfaat.








