Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari, menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR.
Menerusi satu kenyataan, beliau menyifatkan Nurul Izzah sebagai seorang yang kekal istiqamah dan percaya kepada semangat reformasi.
“Dalam perjuangan ini, kita menyaksikan ramai yang datang dan pergi. Namun, yang kekal terus istiqamah sejak hari pertama adalah mereka yang benar-benar percaya kepada semangat reformasi. Dan Nurul Izzah Anwar adalah antara wajah utama perjuangan itu,” katanya.
Pemimpin yang boleh beri tumpuan pada parti
Jelas beliau lagi, PKR memerlukan seorang pemimpin yang boleh memberi tumpuan kepada kekuatan dalaman parti serta mampu memberikan sepenuh tenaga dan perhatian untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Parti ini perlu seorang Timbalan Presiden yang tidak terikat dengan pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada usaha mengukuhkan kekuatan dalaman parti. Kita perlukan sosok yang boleh memberikan sepenuh tenaga untuk mempersiapkan KEADILAN menghadapi PRU akan datang dengan strategi yang kukuh, struktur tersusun, dan semangat anggota yang segar.
“Nurul Izzah bukan orang baharu. Beliau telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan, dihina, namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan.
“Beliau juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sebagai Naib Presiden parti, serta sebagai pemikir dasar yang komited. Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohan beliau, tetapi yang paling utama, anggota parti tahu siapa beliau dan tahu apa yang telah beliau korbankan untuk KEADILAN,” katanya lagi.
Bina semula semangat perjuangan dalam parti
Amirudin turut menegaskan bahawa pencalonan tersebut bukan soal mewarisi nama, tetapi membina semula semangat perjuangan dalam parti.
“Pencalonan ini bukan soal mewarisi nama, tetapi soal membina semula semangat. Ia tentang harapan baharu, tentang menyatukan idealisme reformasi dengan realiti politik masa kini, tentang menyambung api perjuangan dengan keikhlasan dan tanggungjawab.
“Saya yakin, dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan KEADILAN kekal relevan, progresif dan berwibawa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.








