Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang jururawat dari Johor maut selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya hilang kawalan dalam perjalanan menuju ke program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Bukit Besi-Ajil, mangsa, Roslinawati Ramli, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berkonvoi bersama 13 motosikal lain dari Johor menuju ke Kuala Terengganu untuk menyertai perhimpunan tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Baca juga:
- Pelajar UM maut kemalangan: Bapa rayu saksi kongsi video kejadian
- Mangsa kebakaran Putra Heights syukur terima rumah, tapi dakwa janji tak ditepati?
- Kru kabin AirAsia kini dibenarkan berhijab
Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Sharudin mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
Sumber: Polis Daerah Hulu Terengganu, Info Bencana Terengganu








