Pesawat Air France berpatah balik selepas penumpang hilang telefon bimbit dalam penerbangan | The Reporter

Pesawat Air France berpatah balik selepas penumpang hilang telefon bimbit dalam penerbangan

Pesawat Air France mendarat semula selepas penumpang hilang telefon bimbit
Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebuah pesawat Air France terpaksa berpatah balik ke Paris selepas dua jam berlepas gara-gara seorang penumpang kehilangan telefon bimbit ketika berada dalam penerbangan.

Lapor The Mirror, pesawat AF750 yang dijadualkan terbang dari Lapangan Terbang Orly, Paris ke Pointe-a-Pitre, Guadeloupe itu sepatutnya mengambil masa sembilan jam, namun hanya sempat terbang suku perjalanan sebelum juruterbang membuat keputusan untuk berpatah balik atas faktor keselamatan.

Menurut data FlightRadar24, pesawat Boeing 777 itu berlepas sekitar tengah hari dan mula berpusing semula selepas berada di ruang udara barat Perancis. Ia mendarat semula di Paris pada jam 3.25 petang sebelum berlepas semula 20 minit kemudian.

Tindakan luar jangka itu menjejaskan perjalanan 375 penumpang dan 12 kru yang terpaksa pulang semula ke tanah besar Eropah kerana telefon bimbit penumpang tersebut dipercayai jatuh ke kawasan tertutup yang tidak dapat dicapai. Ia menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan bateri litium peranti itu rosak dan menyebabkan kebakaran.

Apa yang lebih mengejutkan, ini bukan kali pertama pesawat sama terpaksa berpatah balik kerana telefon bimbit. Sebulan sebelum itu, pesawat Boeing 777 yang sama juga berpatah balik kerana sebuah telefon bimbit terjatuh ke dalam saluran udara dapur kabin dan tidak dapat dikeluarkan.

Situasi sebegini bukan hanya melibatkan Air France. Sebuah pesawat Air India juga pernah membuat pusingan semula dalam satu kejadian aneh lain apabila sembilan daripada sepuluh tandas dalam pesawat tersumbat, menyebabkan hanya satu tandas di kelas perniagaan yang boleh digunakan.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Chicago ke Delhi dan sudah terbang lebih empat jam sebelum juruterbang membuat keputusan berpatah balik ke Lapangan Terbang O’Hare, Chicago demi keselesaan penumpang.

Related Posts