“Pengakhiran yang dicemburui.”
Demikian luahan netizen selepas tular satu rakaman video memaparkan seorang pesara tentera meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat Subuh di Masjid As-Syakirin Kelewek, Tanah Merah, Kelantan pada Selasa.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu, lelaki berkenaan dilihat sedang sujud pada rakaat pertama, namun didapati tidak bangun semula. Beberapa jemaah kemudian bergegas membantu, namun dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Allahyarham Razmi Mohd Noor, 66, yang difahamkan hadir ke masjid sekitar jam 6 pagi seperti rutin hariannya untuk menunaikan solat berjemaah. Pemergian arwah dalam keadaan sedang bersujud mengundang rasa sebak dalam kalangan masyarakat yang menyifatkannya sebagai husnul khatimah.
Memetik laporan Sinar Harian, anak perempuannya, Nur Anina Razmi, 32, berkata bapanya merupakan jemaah tetap di beberapa masjid dan gemar menunaikan solat secara bergilir-gilir di masjid sekitar kawasan berkenaan.
Menurutnya, arwah juga pernah menyuarakan hasrat untuk meninggal dunia di masjid selain percaya masjid yang dikunjunginya akan menjadi ‘saksi’ di akhirat kelak.
Katanya lagi, beberapa hari sebelum kejadian, arwah ada mengadu sakit perut dan sesak nafas namun tidak memaklumkan perkara itu kepada anak-anak. Walaupun sedih dengan pemergian tersebut, keluarganya reda dan menganggap ia sebagai satu pengakhiran yang sangat baik buat Allahyarham.
Baca juga:
- ‘Tidak pernah terlintas menimbulkan sebarang kontroversi’ – MIG mohon maaf
- Jamil Khir direman lima hari bantu siasatan RCI Tabung Haji
- Lelaki cetus provokasi Hari Kebangsaan di Putrajaya positif dadah
Video kejadian yang dimuat naik pihak masjid di TikTok terus tular dan meraih pelbagai reaksi netizen. Allahyarham meninggalkan isteri, Noraini Alias, 61, bersama 10 orang anak sebelum selamat dikebumikan pada jam 2.30 petang hari sama.








