Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah pertandingan luar biasa mencuri tumpuan di Kelantan apabila peserta diminta menangis sehabis mungkin untuk bergelar juara. Acara yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok ini menjadi tular di media sosial selepas video peserta berusaha mengeluarkan air mata dikongsi secara meluas.
Dianjurkan oleh The Kelantan Expo, pertandingan ini menawarkan hadiah utama wang tunai RM500 kepada peserta yang berjaya menangis paling beremosi. Konsep pertandingan ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, ada yang terhibur melihat ekspresi peserta, dan tidak kurang juga yang kehairanan dengan kewujudan acara sebegini.
Inspirasi dari negara jiran?
Bukan kali pertama pertandingan seperti ini dianjurkan. Sebelum ini, Indonesia juga pernah mengadakan acara serupa di Kabupaten Tegal, Jawa Tengah, yang disertai ratusan peserta. Acara di Indonesia itu mendapat sambutan luar biasa sehingga melebihi kuota yang ditetapkan.
Kini, Kelantan menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengadakan pertandingan menangis, sekaligus mencetuskan perbincangan tentang trend acara unik yang semakin mendapat perhatian.
Berdasarkan klip yang tular, pertandingan ini disertai oleh lelaki dan wanita yang masing-masing mempunyai teknik tersendiri untuk menangis di hadapan orang ramai. Ada yang menutup muka, ada yang memandang ke langit sambil mengalirkan air mata, dan ada juga yang menggunakan ekspresi dramatik bagi menjiwai perasaan.
Di ruangan komen, ada yang mencadangkan agar pihak penganjur memainkan lagu sedih untuk membantu peserta lebih menjiwai suasana. Sementara itu, ada juga yang berpendapat pertandingan ini sedikit janggal dan seakan meniru budaya luar, mempersoalkan kewajaran acara seperti ini diadakan.








