Mulai hari ini, rakyat Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Singapura (LMS) boleh memohon subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) melalui portal khas yang disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
JPJ dalam kenyataannya memaklumkan, permohonan boleh dibuat menerusi laman web www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my dan terbuka kepada warganegara Malaysia yang memegang LMS sah serta mempunyai permit kerja aktif di Singapura.
Langkah ini dilaksanakan bagi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu, terutamanya mereka yang terpaksa menukar lesen Malaysia kepada lesen Singapura untuk memenuhi syarat pekerjaan, walaupun masih menetap dan memiliki kenderaan berdaftar di Malaysia.
Baca juga:
- Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik
- Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew
- Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
JPJ menjelaskan, semua permohonan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk penelitian dan pertimbangan lanjut. Pemohon boleh menyemak status masing-masing selepas 14 hari melalui portal rasmi www.budi95.gov.my.
Sementara itu, warganegara yang tidak lagi bekerja di Singapura perlu membatalkan LMS mereka terlebih dahulu sebelum memohon semula c di mana-mana pejabat JPJ, selepas disahkan tiada sekatan atau sabitan oleh pihak berkuasa Singapura.
JPJ menegaskan, keputusan akhir bagi setiap permohonan terletak di bawah bidang kuasa MoF, manakala subsidi BUDI95 kekal hanya untuk kenderaan berdaftar di Malaysia.








