Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Jika dulu selalu kedengaran pepatah yang menyatakan ‘tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia’ yang merujuk kepada keupayaan seorang wanita walau dilihat bersifat lemah lembut dan keibuan, tetapi mampu memberikan satu pengaruh yang cukup besar dalam kehidupan.
Terbukti kini, lebih banyak penyertaan kaum wanita dalam pekerjaan yang didominasi oleh lelaki.
Satu kisah yang mengkagumkan, satu rakaman seorang wanita yang dikenali sebagai Maya Sidek memasang lampu di puncak ketinggian Menara Berkembar Petronas KLCC.
Sesiapa sahaja yang menonton rakaman berkenaan pasti berasa gayat dan gerun, namun wanita berkenaan dilihat hanya bersahaja menjalankan tugasnya bersama pasukan.
Berkongsi pengalaman beliau menerusi hantaran di TikTok sempena 25 tahun penubuhan menara berkenaan, wanita ini mengatakan menara berkenaan merupakan salah satu impiannya.
“Saya terpilih bekerjasama dengan pasukan yang hebat dan bersyukur.
“Bila duduk kat atas tu, rasa macam healing. Sangat cantik dan bersyukur dengan keindahan pandangan dari atas,” katanya.
Sebagai seorang juruteknik capaian tali katanya memerlukan persediaan dari segi mental dan fizikal kerana apabila berada di puncak, segala kemungkinan akan berlaku.
Dalam pada itu, dia meluahkan rasa bangga dengan pencapaiannya dan pasukan dalam menyumbangkan tenaga buat Malaysia.
“Hasilnya setiap kali tengok KLCC yang sekarang dah boleh tukar macam-macam warna, saya selalu teringat kenangan setiap kali pasang benda tu dekat sana,” katanya.