Isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Supermart mencetuskan pelbagai spekulasi dna mengundang kemarahan masyarakat terutamanya umat Islam.
Mengulas isu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di mata umat Islam. Katanya lagi, meletakkannya pada stoking adalah satu penghinaan.
Walaupun ada pihak yang menyatakan tidak perlu memandang isu tersebut sebagai terlalu sensitif, katanya isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh.
“Perkara sensitif melibatkan umat Islam sukar untuk dimaafkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan dan syarikat KK Supermart serta pemborong perlu ambil iktibar atas apa yang berlaku,” katanya.
Jadi pengajaran
Beliau berharap permohonan maaf yang dihulurkan syarikat bertanggungjawab menjadi pengajaran untuk mereka tidak mengulangi kesalahan di masa depan.
“Kita harap bukan syarikat ini sahaja untuk tidak mengambil remeh, bahkan mana-mana pihak perlu pastikan terlebih dahulu barangan yang ingin diimport dan dijual di negara ini,” katanya.
Susulan itu juga, Mohd Na’im menyatakan sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak pengurusan KK Supermart untuk berbincang dalam memastikan perkara itu tidak berulang.
Dalam pada itu, beliau juga meminta umat Islam bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.
Sumber: Harian Metro








