Seorang penuntut sebuah universiti swasta di Subang Jaya mengalami kecederaan di leher sebelah kiri selepas dipercayai dikelar oleh teman lelakinya, seorang warganegara asing, menggunakan pisau.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa yang juga pelajar warga asing berusia 20 tahun telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
“Mangsa ditempatkan di Zon Merah dan kini berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Susulan kejadian itu, suspek berusia 21 tahun telah ditahan bagi siasatan lanjut.
“Suspek ditahan sejurus selepas kejadian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun, atau denda, atau sebatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166 bagi membantu siasatan,” katanya.











