Penunggang motosikal maut rempuh polis trafik | The Reporter

Penunggang motosikal maut rempuh polis trafik

Lokasi kemalangan yang melibatkan seorang penunggang motosikal maut.
Tangkap layar tular media sosial di lokasi kemalangan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seorang pegawai polis trafik yang sedang menjalankan pemeriksaan di lorong kecemasan KM 170.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), kira-kira jam 2.07 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib berkata, pihak IPD Tangkak menerima maklumat berhubung kejadian tersebut yang melibatkan seorang pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tangkak.

“Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal jenis Suzuki DL650XA berwarna biru.

“Pelanggaran berlaku ketika pegawai polis berkenaan sedang membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki di lorong kecemasan lebuh raya tersebut,” katanya.

Baca juga:

Akibat kejadian itu, penunggang motosikal dan pegawai polis mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin untuk rawatan. Namun, penunggang motosikal berkenaan yang berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jasin.

Dalam pada itu, Roslan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Mohd Azmil Azwa Amir Azwa di talian 019-3058346 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Insiden kemalangan berkenaan turut tular di media sosial apabila beberapa video dan gambar kejadian dipercayai dirakam orang awam tersebar sejurus selepas insiden berlaku.

Related Posts