Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Kerusi 11A dianggap ‘kerusi bertuah’ selepas seorang lelaki terselamat dalam nahas Air India
• Video tular rakam penumpang bertengkar dan bertindak agresif untuk berebut tempat duduk itu
• Permintaan terhadap kerusi 11A meningkat walaupun ia bukan lagi kerusi pintu kecemasan
Satu kekecohan tercetus dalam penerbangan Air India baru-baru ini apabila sekumpulan penumpang bertengkar kerana berebut tempat duduk 11A, yang kini dianggap sebagai ‘kerusi bertuah’ selepas seorang lelaki terselamat dalam nahas ngeri baru-baru ini.
Insiden itu berlaku susulan kemalangan pada 12 Jun lalu, apabila sebuah pesawat Air India yang dalam perjalanan dari Ahmedabad ke London terhempas sejurus berlepas. Tragedi itu mengorbankan 241 penumpang dan kru.
Namun seorang lelaki, Vishwash Kumar Ramesh, 40 tahun, terselamat kerana duduk di kerusi 11A, berhampiran pintu kecemasan. Apa yang mengejutkan, abangnya yang duduk di sebelah maut dalam kejadian sama.
“Saya sanggup bayar lebih, asalkan dapat duduk di 11A”
Sejak kejadian itu, tempat duduk 11A menjadi buruan dalam kalangan penumpang di India. Ramai percaya duduk di kerusi sama mungkin memberi mereka peluang yang lebih tinggi untuk selamat jika berlaku kecemasan.
Rakaman video dari satu penerbangan menunjukkan beberapa penumpang bertelagah mengenai siapa yang berhak duduk di situ. Seorang wanita dilihat menampar tangan lelaki yang telah duduk di kerusi tersebut, namun lelaki itu enggan berganjak.
A fight breaks out on Air India flight with multiple passengers wanting to sit on Seat 11 A.
— tic toc (@TicTocTick) June 18, 2025
This is the lucky seat where the lone surviving passenger sat on an ill fated Air India flight where 250 perished.
pic.twitter.com/R7KeS2dm4o
Seorang ahli perniagaan, Jitender Singh Bagga, berkata kepada Times of India, “Ia mesti kerusi bersebelahan pintu kecemasan. Saya sanggup bayar apa saja. Kalau 11A dalam pesawat British Airways yang saya nak naik itu memang betul-betul di sebelah pintu kecemasan, saya nak duduk di situ.”
Rajesh Bhagnani dari Kolkata turut berkongsi pandangan serupa, “Saya tahu hidup dan mati ketentuan Tuhan, tapi saya tetap nak beri peluang terbaik untuk diri saya. Tak ada kerusi lain sehebat 11A kalau betul-betul ada pintu kecemasan di sebelah.”
Kepercayaan atau sekadar cari rasa selamat?
Agen pelancongan mengesahkan permintaan terhadap kerusi 11A kini meningkat dengan mendadak, malah ada penumpang yang tetap mahukannya walaupun kerusi itu bukan lagi di barisan pintu kecemasan.
Fenomena ini menunjukkan bagaimana satu insiden luar biasa boleh mencetuskan kepercayaan baharu, walaupun tanpa asas saintifik. Bagi sesetengah individu, rasa selamat datang bukan dari fakta, tetapi dari kepercayaan.
Sumber: Total Pro Sport








