Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Penjawat awam di seluruh negara diingatkan agar tidak berada dalam ‘zon selesa’ susulan pengumuman kenaikan gaji yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Sebaliknya, mereka diminta untuk terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat menegaskan penjawat awam perlu membuktikan kelayakan mereka menerima kenaikan gaji tersebut. Sekali gus mematahkan persepsi negatif yang dilemparkan oleh segelintir pihak selama ini.
Menurut Datuk Adnan, Cuepacs menyedari ada pihak yang mempersoalkan rasional di sebalik kenaikan gaji tersebut sejak ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1 Mei lalu.
“Banyak komen dilontarkan, contohnya kenapa harus naik gaji sedangkan perkhidmatan belum ada penambahbaikan,” katanya.
Justeru adalah penting bagi anggota perkhidmatan awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan cadangan kenaikan gaji.
“Prestasi penjawat awam sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan sebarang kelemahan walaupun kecil pasti akan menjadi isu besar,” ujar beliau.
Sumber: Kosmo! Online (Kamaliza Kamaruddin)