Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 31 tahun, P Kuhan Raj, yang merupakan seorang peniaga telefon bimbit, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dalam satu kemalangan di Lebuhraya Bukit Jalil ke Puchong, Jumaat lalu.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan memandu laju sehingga menyebabkan kematian pembonceng motosikal, Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku sekitar jam 9.50 malam pada 15 November. Kuhan Raj yang memandu sebuah kereta BMW didakwa melanggar motosikal yang dinaiki keluarga mangsa, menyebabkan kemalangan.
Timbalan Pendakwa Raya, Salsabila Mohammad, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Inderpal Singh, memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh adalah penyara tunggal keluarganya.
“Anak guam saya menanggung isteri yang tidak bekerja, dua anak kecil masing-masing berusia dua dan empat tahun, serta ibu bapanya yang sudah uzur,” katanya.
Setelah meneliti hujah daripada kedua-dua pihak, Majistret Haneefa menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes dijadualkan pada 21 Januari tahun hadapan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa kemalangan tersebut turut melibatkan ibu bapa mangsa yang menaiki motosikal sama. Ketiga-tiga mereka dibawa ke hospital oleh orang awam, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Sumber: Harian Metro








