Pengurusan Masjid Al-Abrar jemput peserta RXZ 6.0 mengimarahkan masjid | The Reporter

Pengurusan Masjid Al-Abrar jemput peserta RXZ 6.0 mengimarahkan masjid

Sumber Gambar: Facebook Masjid Al-Abrar Bukit Tok Beng, Instagram rxz_members_official

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pihak pengurusan Masjid Al-Abrar, Bukit Tok Beng, Kuala Nerus mempelawa peserta-peserta yang menyertai RXZ Members 6.0, untuk singgah ke masjid berkenaan untuk berehat dan membersihkan diri selepas menempuh perjalanan yang jauh.

Dalam hantaran di Facebook, pihak mereka turut menyediakan makanan tengah hari secara percuma kepada orang ramai selepas solat Zuhur secara berjemaah pada Sabtu ini.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Abrar, Profesor Madya Dr Mohd Shafiee Hamzah, usaha itu bertujuan menarik minat anak muda menghadirkan diri beramai-ramai ke rumah Allah selain mengimarahkan pelbagai aktiviti diadakan di masjid.

“Kami dari pihak jawatankuasa masjid sangat mengalu-alukan kehadiran semua peserta RXZ Members dari seluruh negara untuk ziarah dan mengimarahkan masjid di sini.

“Pelbagai kemudahan disediakan di masjid ini kepada orang ramai, antaranya kawasan parkir luas serta tandas dan bilik mandi yang selesa.

“Selain itu, masjid ini mempunyai beranda yang luas di mana ia memberi keselesaan kepada tetamu yang hadir untuk iktikaf, berehat serta melelapkan mata selepas menempuh perjalanan jauh,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai soal keselamatan pula, beliau menyatakan tidak perlu bimbang kerana terdapat pengawal keselamatan ditugaskan di masjid berkenaan.

Susulan itu juga, ramai yang memuji usaha yang dibuat oleh pengurusan masjid berkenaan dalam menarik minat orang ramai terutamanya golongan muda untuk mengimarahkan masjid.

Sumber: Masjid Al-Abrar Bukit Tok Beng, Sinar Harian

Related Posts