Seorang pengerusi kuil dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Dengkil pada Isnin atas dakwaan menceroboh tanah persendirian tahun lalu..
Tertuduh, M Paramaguru, 49, didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan tanah milik Datuk Suhaili Ahmad, 70, tanpa kebenaran di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil kira-kira jam 4.45 petang pada 19 Jun 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam bela, Darshela Hari Raja merayu supaya jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri dan dua anak, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan, selain tidak mempunyai rekod jenayah.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Tertuduh sebelum ini dilaporkan ditahan di rumahnya di kawasan sama pada jam 3.30 petang, Ahad lalu.
Sumber: Sinar Harian








