TEMU, sebuah jenama e-dagang yang ditubuhkan pada tahun 2022 oleh Colin Huang, telah menarik perhatian ramai pengguna di seluruh dunia. Colin Huang, yang juga pengasas PDD Holdings dan Pinduoduo, melancarkan TEMU dengan tujuan untuk memperluaskan kejayaan platform e-dagangnya ke pasaran global.
TEMU menawarkan pelbagai produk pada harga yang sangat rendah, menjadikannya pilihan popular di kalangan pengguna yang mementingkan kos.
Sebelum menubuhkan TEMU dan Pinduoduo, Colin bekerja sebagai jurutera di Google dan telah membina beberapa syarikat permulaan yang berjaya. Colin kini merupakan individu terkaya di China. Menurut Indeks Bilionair Bloomberg, kekayaan beliau dianggarkan sebanyak AS$48.7 bilion (kira-kira RM217.1 bilion).
Kejayaan luar biasa ini didorong oleh perubahan tabiat membeli-belah di China dan strategi perniagaan yang inovatif.
Awal penubuhan TEMU
Colin Huang menubuhkan TEMU sebagai sebahagian daripada usaha untuk memanfaatkan model perniagaan unik Pinduoduo yang berasaskan pembelian kumpulan. Model ini membolehkan pengguna bekerjasama untuk membeli barangan pada harga yang lebih rendah, sekaligus memupuk rasa komuniti di kalangan pembeli.
Pelancaran TEMU juga bertujuan untuk menangani keperluan pengguna yang semakin mementingkan kos, terutamanya dalam iklim ekonomi yang mencabar dengan inflasi yang tinggi.
Perbandingan dengan platform e-Dagang lain
TEMU sering dibandingkan dengan platform e-dagang lain seperti Shopee dan Lazada. Walaupun ketiga-tiga platform ini menawarkan pelbagai produk, terdapat beberapa perbezaan utama. TEMU menekankan harga rendah dan pembelian kumpulan, manakala Shopee dan Lazada lebih fokus kepada promosi dan kestabilan stok.
Shopee dan Lazada juga lebih popular di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, manakala TEMU beroperasi di pasaran global, termasuk Amerika Syarikat.
Berdasarkan ulasan di Trustpilot, TEMU mempunyai penilaian purata sebanyak 2.8 daripada 5 bintang. Ramai pengguna menghargai harga yang sangat rendah dan pelbagai pilihan produk yang ditawarkan oleh TEMU. Namun, terdapat juga aduan mengenai kualiti produk yang tidak konsisten dan masalah dengan komunikasi serta privasi.
Kualiti produk?
Ada dakwaan mengatakan barangan yang dijual di TEMU tidak berkualiti walaupun dijual dengan harga murah biasanya berpunca daripada beberapa faktor.
Barangan yang dijual pada harga yang sangat rendah sering kali dihasilkan dengan kos pengeluaran yang minimum, menyebabkan penggunaan bahan yang lebih murah dan kurang berkualiti.
Selain itu, barangan yang dihasilkan dalam jumlah yang banyak mungkin tidak diperiksa dengan teliti, menyebabkan kualiti produk berbeza-beza. TEMU juga membenarkan penjual lain untuk menjual produk mereka, yang boleh menyebabkan perbezaan dalam kualiti produk.
Walaupun TEMU menawarkan harga yang sangat kompetitif dan pelbagai pilihan produk, pengguna perlu berhati-hati dan membaca ulasan produk serta penilaian penjual sebelum membuat pembelian. Ini penting untuk memastikan kualiti produk yang diinginkan.