Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengasas rangkaian kedai runcit 99 Speedmart, Lee Thiam Wah, kini tersenarai sebagai antara 10 individu terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan RM17.6 bilion, menurut Senarai Individu Terkaya Nanyang Siang Pau 2024.
Kekayaannya melonjak selepas penyenaraian awam permulaan (IPO) 99 Speedmart pada tahun lalu, menjadikannya individu ketujuh terkaya di negara ini. Kejayaan itu meletakkannya sebaris dengan hartawan seperti Datuk Leong Kok Wah, Tan Sri Ong Leong Huat, dan pendatang baharu Datuk Seri Tan Run Chuan, yang turut mendapat manfaat daripada prestasi kukuh Bursa Malaysia pada 2024.
Thiam Wah juga berada dalam kelompok individu berpengaruh seperti Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, pengasas dan pengerusi Sunway Group, serta Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Bhd, yang masing-masing memiliki kekayaan AS$2.4 bilion (RM11.2 bilion) dan AS$2.2 bilion (RM10.3 bilion) dalam Senarai 50 Individu Terkaya Forbes Malaysia.
Perjalanan dari sifar ke puncak
Dilahirkan pada 1957 di Klang, Selangor, Thiam Wah menghadapi cabaran besar sejak kecil. Serangan polio ketika bayi menyebabkan beliau hilang keupayaan untuk berjalan, manakala kesempitan hidup membataskan pendidikannya sehingga sekolah rendah. Namun, semangat juangnya tidak pernah pudar.

Sebagai remaja, beliau mula berniaga makanan ringan di tepi jalan untuk menyara diri, sebelum membuka Pasar Raya Hiap Hoe di Klang pada 1987 dengan hasil simpanannya.
Melihat potensi besar pasar mini, beliau menjenamakan semula perniagaannya kepada Pasar Mini 99 pada 1992, menggunakan strategi harga mampu milik, jualan volum tinggi, lokasi strategik, dan pengurusan logistik cekap.
Antara 2000 hingga 2003, beliau mempercepatkan pengembangan agresif dengan membuka lapan cawangan di Klang, sebelum menjenamakannya sebagai 99 Speedmart, mencerminkan pertumbuhan pesat syarikat.
Kini, 99 Speedmart mengendalikan lebih 2,600 cawangan di seluruh negara dan menyasarkan 3,000 cawangan menjelang 2025, selain merancang pengembangan ke Indonesia dan Thailand.
IPO terbesar dalam 7 tahun, saham melonjak hampir 50%
Pada 9 September 2024, 99 Speedmart disenaraikan di Bursa Malaysia, menjadi IPO terbesar dalam tempoh tujuh tahun sejak Lotte Chemical Titan Holding Bhd pada 2017, dengan harga IPO RM1.65 sesaham.
Dalam tempoh empat bulan sahaja, harga sahamnya melonjak hampir 50 peratus, menutup tahun 2024 pada RM2.47 sesaham. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan keusahawanan Thiam Wah dalam membina empayar peruncitan yang kukuh dan terus berkembang.
Sumber: Berita Harian








